Monday, December 24, 2007

SELAMAT HARI ULANG TAHUN PERKAHWINAN KITA YANG KE 11



Setiap kali Hari Raya Aidil Adha pada 10 Zulhijjah bulan Islam, setiap kali itulah ulang tahun perkahwinan aku & abang. Memang sungguh istimewa sebenarnya kalau difikir-fikirkan, orang beraya, orang berkorban, orang selesai ibadah haji di Mekah – aku & abang menyambut ulangtahun perkahwinan…. Semoga kami berbahagia dunia dan akhirat! Mengambil keberkatan hari kebesaran yang sungguh mulia dan hebat!

Anggerik merah mekar di laman rumah kita. Abang memang dah lama tak beri aku jambangan bunga, tapi sebenarnya abang sentiasa menanam dan membaja bunga di laman rumah untukku. Bukankah itu lebih berharga? Cewah.. suka la tu



FAKTA NOMBOR

Tahun masihi ini 2007 – genap 10 tahun usia perkahwinan aku & abang.
Hari Raya Haji ini 1428 – genap 11 tahun hijrah usia perkahwinan
Aku kenal abang sejak1992 – sudah 15 tahun rupanya
Aku dan abang berkawan special sejak 1993 – sudah 14 tahun
Bertunang – 1996
Berumahtangga – 1997
Anak pertama, Nina – 1998
Anak kedua, Zahra – 1999
Anak ketiga, Myra – 2001
Anak keempat @ anak lelaki pertama – 2002
Anak kelima – insya Allah
Abang masuk dunia bisnes – 2000
Aku masuk dunia bisnes ??? – tunggu
Anak sulung ke sekolah – 2005
Jumlah berapa kali pindah rumah – 9 kali dalam masa 6 tahun.
Rumah paling lama – rumah sekarang, dari 2004
Jenis rumah & tempat yang pernah diduduki


  1. Hostel houseman, Hospital Ipoh 1997
  2. Cherry Apartment, Ipoh 1997
  3. Rumah teres 2 tingkat di Kuala Kangsar 1998
  4. Rumah semi-D 2 tingkat di Kuala Kangsar 1999
  5. Rumah Ayah & Mak Mertua di Bukit Chedang, Seremban 2000
  6. Rumah teres setingkat di Bukit Chedang, Seremban 2001
  7. Rumah kedai di Jalan Tuanku Antah, Seremban 2002
  8. Rumah sendiri, teres 2 tingkat di Warisan Puteri, Seremban 2003
  9. Rumah sendiri, teres 2 tingkat di Bandar Baru Bangi, dari 2004
  10. Rumah banglo:) (Masih dalam impian lagi.. insyaAllah kalau ada rezeki)


    Ini anggerik jingga di tepi pagar rumah di Bandar Baru Bangi.



ABANG – CINTA HARDCOPY

Abang adalah ‘diari’ aku sejak zaman medical student dulu. Mungkin fantasi cintaku macam dalam cerita Daddy Long Legs kut. Best tau cerita tu. Cerita yang penuh surat-surat daripada seorang gadis remaja kepada bapa angkatnya yang tak pernah ditemui dan tak pernah membalas suratnya... yang menceritakan kehidupannya di kolej, termasuk kisahnya jatuh cinta dengan seorang jejaka... dan rupa-rupanya 'bapa angkat'nya tu jejaka tersebut!


Sampai sekarang koleksi surat-surat aku & abang memang masih tersimpan rapi, yang memang seronok kalau dibaca walau berulang kali. Yalah… seronok sendiri! Bagus jugalah zaman tu belum ada handphone, sms, mms, email… jadi semua masih dalam bentuk hardcopy. Semua ada bukti hitam putih, ada dokumentasi tau… bukanlah di alam virtual lagi. Terasa macam jauh benar lak zaman tu kan, walau tak sejauh zaman dinosaur… Betapa jauh berbezanya kan, gaya hidup berubah dalam cuma satu generasi!

Anggerik merah, anggerik ungu. Jangan marah, I love u. He he (Ok abang, macamana dengan istilah Cinta Hardcopy tu? Jangan cinta fotokopi atau ribut dalam secawan kopi lagi…)


ABANG - CINTA SEBENAR SELEPAS KAHWIN





Zaman ber’cinta’ dengan abang no dating-dating berdua. Adalah berjumpa sesekali di bilik tetamu asrama puteri yang ramai orang tu. Keluar jarang sekali, kalau ada itu pun dengan mak & ayah atau adik. Yang lain semua berutus surat. Telefon pun kadang-kadang. Abang ni ‘a man of few words’ katanya. Rumah abang pertama kali aku jejaki hanyalah waktu rombongan menghantarku sebagai menantu! Mak mertua kata emakku siap memberitahunya; terimalah aku seadanya sebab aku waktu tu masak pun tak tahu, macam-macam tak tahu, maklumlah baru 2 minggu habis belajar! Terharu aku bila mak cerita.. waktu tu aku rasa aku langsung tak risau pasal pandai memasak ke apa ke... he he.



HONEYMOON

Aku & abang tak pergi honeymoon pun! Abang masa tu houseman, busy. Tapi kira semua saat-saat bersama waktu tu adalah honeymoon sebab kita kan tak pernah dating-dating sebelum tu. Itulah cinta selepas kahwin. Macam zaman dulu-dulu tu…

ABANG – PEMINAT MASAKANKU NO. 1

Masakan pertama aku untuk abang selepas kahwin ialah… cekodok ikan bilis!! Itupun selepas berapa bulan kahwin entah. Abang punyalah suka sangat dengan cekodok bilis tu. Sedap sangat katanya. Aku sebenarnya waktu tu teruja sungguh sebab abang suka cekodok tu, tak sangka pulak, sedikit usahaku membuat cekodok bilis mendapat pujian beriya-iya daripada abang. Agaknya dia dah bosan makan di luar memanjang. Yalah, memang awal-awal kahwin asyik makan luar aje dengan alasan houseman….letih. Aku ingat lagi emak pernah beri aku periuk & kuali (masih dipakai sampai sekarang!) dan mak & ayah beri aku tong gas! Ni semua gara-gara waktu diaorang melawat kami di Ipoh, dapur tak berasap!

Abang ni best sebab aku masak apa aje pun dia suka. Walau pun asalnya makanan-makanan tu dia tak pandang sebelah mata, tapi bila aku masak dia terus terpikat! Cayalah. Macam terung tumis kicap, ubi cicah tumis ikan bilis & lada hijau. Apatah lagi kalau makanan tu dia memang pandang dengan terbeliak mata macam telur goreng dadar makan dengan nasi taruk kicap… he he… tapi disebabkan abang suka makan apa aje yang aku masak sekarang ni aku dah pandailah juga masak macam-macam. Buku resipi pun dah semakin banyak. Begitulah, sebagai isteri, antara yang menyeronokkan ialah suami suka apa yang kita masak. Isteri atau ibu masak tak serupa macam yang di kedai. Apa yang membezakan bila isteri atau ibu masak - the most important ingredient is love!

ABANG YANG SPORTING

Abang memang sporting sangat. Kalau aku tak larat nak masak, letih ke, tak ada mood ke, ikan & sayur tak ada dalam peti sejuk ke, atau simply malas ke, kita semua boleh keluar makan kat luar. Semua tempat kat Bandar Baru Bangi ni memang kita dah pernah makanlah… yang atas pokok, bawah pokok, tepi kolam, tepi jalan, semua pernah.


ABANG – OUR FAMILY MAN

The family who spends time together, stays together.

Harap begitulah. Keluar berjalan dengan abang & anak-anak memang sangat-sangat menggembirakan. Itulah waktu yang selalu dinanti-nantikan. Well, I can’t imagine life without them. Keluar jalan-jalan. Jalan-jalan cari air. Cari air nak berenang.. he he. Sampai Pedas Waterworld, Lost World Tambun, Desa Waterpark, Teluk Dalam Pangkor, PD, Kuantan, Penang, Sabah… mana-mana ada air, kita pergi.

Aku & abang suka ke tempat-tempat yang ada air, ada pokok, masih hijau dan masih dalam alam semulajadi. Itu yang bagusnya, citarasa sama. Aku & abang tak berapa suka ke tempat yang sesak-sesak dan ramai orang… kadang-kadang ajelah window shopping tu.

Balik kampung pulak dah memang semestinya.. sekurang-kurangnya sekali sebulan. Desa cemerlang kami di Sungai Lang dan rumah di tepi air terjun bukit di Springhill.

ABANG – GIGIH MEMBINA KARIER

Abang berhenti kerja kerajaan pada tahun 2000. Tindakan yang sungguh nekad tapi abang tak pernah menyesal. Buka klinik sendiri selama 2 tahun, abang berhijrah ke NIOSH untuk mencari pengalaman kerja yang baru. Sekarang abang di Hospital Pakar Annur, sebagai pengurus Occupational Health Unit.

Abang, dulu orang komen dia ‘bercakap macam tak ada bateri’ sekarang boleh jadi consultant & trainer. Sebenarnya abang dah jumpa apa yang dia minat dalam Occupational Health. Nama abang ‘Rozai’ pun maksudnya occupational hazard dalam bahasa Jepun. He is the man for ‘rozai’… dan itu akan membawa aiman atau tuah / keberkatan. Cewah! Sesuailah tu.

Apa yang boleh kukatakan, abang memang gigih berusaha mencari rezeki untuk keluarga. Abang seorang yang sangat komited, berdedikasi dan bertanggungjawab. Aku tidak pernah merasa susah hidup bersama abang. Walau ada masanya cabaran datang, kadang-kadang sangat perit, abang sentiasa optimis menghadapi. Selalu juga kita berkongsi masalah, berkongsi geram & marah, berkongsi sedih & luka yang hanya kita yang tahu. Tapi, insya Allah, jika kita terus gigih, tabah & istiqamah, pasti kejayaan akan menunggu jua. I know you can do it, abang!

Di atas tu, gambar abang sedang memakai mask, sekali-sekala kalau aku tengah rajin nak buatkan abang facial treatment. Apa..? Tak ada udang di sebalik mee tau. Bukan sebab nak handbag baru ke atau kasut baru. Cuma nak banglo atau kereta baru aje. He he.

ABANG YANG MEMBERIKU RUANG

Abang memberiku ruang untuk banyak perkara. Untuk melanjutkan pelajaran yang menuntut banyak pengorbanan daripada semua. Selalu abang kata, dia kagum dengan aku yang larat belajar semula, on call semula, semata-mata untuk menjadi seorang psikiatris. Kata-kata itu tanpa abang sedari terus membakar semangatku untuk menempuhi pembelajaran yang memang mencabar. Memang minat itu antara yang utama. Tapi sokongan & pengorbanan daripada keluarga… tanpanya aku tak mungkin berada di sini. Memang bukan mudah belajar semula bila sudah berkeluarga & bekerja. Dan bila kita menghadapi saat-saat peperiksaan, membuat assignment dan research, keadaannya memang lebih sukar dari apa yang pernah disangkakan. Nobody said it was easy. No one ever said it would be this hard. Tanpa sokongan abang, anak-anak & keluarga segalanya memang tidak mungkin. Musim-musim peperiksaan terutamanya, aku terpaksa beri lebih perhatian kepada kerja-kerja akademik, berjam-jam depan komputer, selalu juga stressed up dan memang tak dapat beri perhatian kepada keluarga seperti biasa. Abang mungkin tidak banyak membantuku secara langsung dalam aspek-aspek pengajianku (tak apalah, agaknya abang rasa aku capable enough…) tapi abang sentiasa bersamaku, tidak pernah merungut dengan kesibukanku, sabar dengan karenahku dan dalam diam mungkin cuba memahamiku…



Ini abang, sewaktu masih berkacamata. Di bawah nanti ada gambar abang selepas buat Lasik, (rawatan laser untuk membetulkan rabun jauh)

CINTA TERUS MEMBARA

Selalu dikatakan, semasa muda dan bercinta, cinta itu maraknya menyala-nyala… namun setelah bertahun-tahun hidup bersama, cinta wujud dalam bentuk yang berbeza. Membara dari dalam dan diam. Sealunya bila sesuatu itu ada di depan mata, kita tak sedar apa yang kita miliki. Kebahagiaan, ketenangan, kasih & sayang…

Apa yang pasti, selalunya bila abang pergi outstation memang terasa bezanya…aku selalu mula terasa sayu 2-3 hari sebelum abang nak kena pergi outstation tu. Bila abang tiada di rumah, memang lain rasanya … tidur seorang diri, bila bangun pagi tiada siapa nak di’berebut’kan bilik air, tiada siapa nak kucium tangannya sebelum pergi kerja, tiada siapa nak kutunggu pulangnya petang-petang, bila lapar atau bosan tiada siapa nak teman keluar jalan-jalan! Anak-anaklah pengubat rindu, tapi tak lengkap dan tak serupa bila ayahnya tiada! Sebab itulah orang tua-tua kata sayangkan isteri tinggal-tinggalkan. Rasa serba tak kena, resah gelisah dan gundah gulana hanya terubat bila abang balik ke rumah. Waktu tu, barulah segalanya kembali normal, pulih seperti sedia kala!

Kerana itu semualah, selalu aku & anak-anak cuba ikut abang jika masa & keadaan sesuai dan mengizinkan. Aku pun selalu gembira kalau dapat bawa abang & anak-anak jika terpaksa outstation. The family who spends time together, stays together… harapnya begitulah!

Taraa.. inilah gambar abang tu. Selepas Lasik. He he...

INI SATU PUISI UNTUK ABANG SEMPENA ULANGTAHUN PERKAHWINAN KITA – CEWAH!

Terima kasih abang
menyuntingku sebagai isteri,
kerana isteri tinggi darjatnya dan membuka pintu-pintu ke syurga…

Terima kasih abang,
menjadikan aku ibu, yang melahirkan zuriat kita, yang comel dan manja,
menjadikan aku diperlukan dan disayangi mereka

Terima kasih abang
menjadikan aku teman, berkongsi cerita dan bicara, tawa dan airmata

Terima kasih abang
menjadikan aku wanita, yang boleh bebas bersuara, mengatur langkah dalam kerjaya, membina dirinya dan berbakti di luar rumahtangga

Terima kasih abang
menjadikan aku buah hatimu, yang kausayangi dan kaupeliharadan menerima aku sebagai diriku, seadanya

No comments: