Monday, December 24, 2007

Qurban Aqiqah Lembu Putih & Cukur Jambul Naufal Ikmal


Ini cerita Raya Qurban hari kedua di Banting. Qurban lembu putih Pak Uda yang comel dan gebu... kongsi sekeluarga. Termasuk aqiqah Naufal & Ikmal. Dalam gambar Pak Uda beraksi mengikat lembu sebelum disembelih. Dengan lafaz bismillah dan Allahu Akbar sempurnalah korban kita pada tahun ini. Alhamdulillah 2 bahagian dimasak untuk kenduri cukur jambul. Selebihnya disedekahkan kepada orang kampung.

Emak dan aku bersembang tentang 'trend' sekarang yang korban dijadikan seumpama pesta; tumbang lembu kerbau tapi syok sendiri berkenduri makan sendiri, tak ingat pun nak sedekah kepada fakir miskin. Itu tak sepatutnya dijadikan budaya. Dah lari dari tujuan sebenar hikmah berkorban. Dan tak patut juga dijadikan budaya; ghairah nak berkorban sampai bekalan lembu diimport dari negara bukan islam. Sepatutnya wujudnya ibadah korban menggalakkan industri penternakan di kalangan orang-orang Islam sendiri. Insya Allah.
Apasal Abg Azrul & An berebut ekor lembu tu? Ish.. ish...

Syoknya memotong daging lembu. Maklumlah pisau baru beli, tajam tu...

Memang seronok bergotong-royong melapah daging lembu. Lepas tu buat sup tulang untuk makan tengahari. Makan panas-panas dengan nasi putih.
Tengok tu... Pak Lang begitu khusyuk nampaknya!


Untuk kenduri cukur jambul malamnya, menunya daging masak palembang, ayam goreng berempah, ayam masak kurma, sambal tumis udang, acar mentah nenas & timun dimakan dengan nasi hujan panas. Sebahagiannya ditempah khas dari katering kampung. Dah semakin maju masyarakat kampung aku ni...

Nasi berkat tak ketinggalan. Ala-ala nasi ambeng. Sambil membungkus berkat dengan Mak Lang, Mak Usu, Ain, Sakina, Ana & Jiha... timbul cerita Paman Razzi Armansur yang dah jadi penulis. Bukunya 'Rahsia Ajaib Untuk Berjaya' memang bercerita pasal Kampung Sungai Lang. Pasal orang-orang kampung yang berjaya dan hidup senang. Seronok juga membacanya... ada cerita nasi ambeng, soto, pecal & tempe!


Hati teruja lagi melihat Naufal & Ikmal bercukur jambul... dah lama betul El bercukur jambul! Dah tiba masanya El ada adik ni...:)

Abah mencukur jambul Naufal yang tetap syok tidur walau apa pun yang berlaku di sekelilingnya. Sementara Ikmal yang baru terjaga dari tidur tertanya-tanya "mimpikah aku?"

Tapi, paling best tengok bapak-bapak dan mak-mak budak berebut kutip gula-gula & syiling. Terutama si baju boria biru tu - bapak & mak Ayuni/Afendi, bapak & mak Irdina/Hakimi. He he he...

Mula-mula Johar melihat sahaja... tapi lama kelamaan tak boleh jadi ni, katanya dalam hati. Kutip jangan tak kutip. Ana pun apalagi turut memberi sokongan padu. Heh heh heh..
Meriahnya! Ramai betul budak-budak sekarang ni.. sampaikan aku memang selalu keliru yang mana satu anak siapa tu! Semoga dimurahkan rezeki kita semua dan terus meriah persaudaraan kita. Amin.

No comments: