Sunday, December 30, 2007

Menyelesaikan perkara penting dalam hidup dalam masa 5 MINIT


Kadangkala liat nak solat, dah dekat akhir waktu baru terburu-buru. Tahu mengaji Quran itu sepatutnya dilakukan hari-hari, tapi asyik terasa busy. Tahu banyak benda, tapi tak terbuat saja... beli pil vitamin, tak makan. Beli mini gym di rumah, mula-mula bersemangat gitu, akhirnya berdebu. Memang sibuk.. banyak urusan nak dibuat... sampai bila hidup nak dikejar waktu? Bangun pagi, kelam-kabut dikejar trafik. Di tempat kerja dikejar dateline. Balik rumah dikejar keletihan....


Oh tidak....


Bagaimana nak membereskan urusan penting dalam kehidupan, agar kita tidak terkejar-kejar dan hidup terasa lebih lapang?


Ada 2 analogi hebat.


Pertama, kalau nak mengisi satu balang dengan batu sepenuh-penuhnya, isilah dengan batu yang besar-besar dahulu. Kemudian baru isi dengan batu yang kecil yang akan mengambil ruang antara batu-batu besar. Kalau botol sudah diisi dengan batu-batu kecil dahulu, jawabnya tiada lagi ruang untuk batu yang besar.


Kedua, resmi alam menunjukkan kebanyakan perkara dalam kehidupan perlu melalui peringkat tertentu dan masa tertentu untuk mencapai sesuatu. Masa adalah wadah kehidupan. Pohon yang besar telah melalui percambahan biji benih, menjadi anak pokok, berbunga barulah berbuah. Padi untuk dituai adalah hasil setelah membajak sawah, menanam, membaja dan mengawal serangga makhluk perosak. Bayi yang lahir adalah bermula dari proses persenyawaan, menjadi zigot dan fetus sebelum keluar ke dunia. Hakikatnya, kebanyakan perkara akan melalui proses yang teratur, dan tidak berlaku sekelip mata. Ia memerlukan satu proses yang berdikit-dikit tapi berterusan.


Tiada jalan singkat untuk menjadi kaya, menjadi sihat, menjaga berat badan, membesarkan anak, menjadi hamba Allah yang taat dan segalanya. Memang betul sangat. Perlu diterima kebanyakan proses dalam kehidupan melalui masa yang lama dan itulah yang melemahkan manusia. Bertahan dan istiqamah adalah satu cabaran yang berat. Memulakan dan berazam memang mudah tapi melaksanakan, masya Allah.


Tiada skim cepat kaya atau jutawan segera. Kalau betul pun berjaya secara segera, apa yang dicapai adalah rapuh dan mungkin memberi kesan lebih buruk. Ada orang miskin yang menang loteri kebajikan berjuta di luar negara akhirnya duduk di rumah bagai istana, berpagar tinggi dan menjadi paranoid kepada semua takut kekayaannya diambil orang. Tak payah jauh, di satu Felda di Malaysia, jutawan segera kerana duit pampasan tanah, boleh bercerai berai dan hidup aman jadi porak peranda. Ini kerana, ia berlaku tidak mengikut resmi alam, si penerima tidak bersedia untuk menguruskan.


Tiada produk kecantikan atau kesihatan atau menguruskan badan yang ajaib. Tiada mesin senaman yang ajaib sepertimana digembar-gemburkan sekarang. Mungkin banyak makanan kesihatan, vitamin dan mineral di pasaran. Tapi kalau dibeli tidak dimakan dan akhirnya luput tarikh tak berguna juga. Mesin senaman bergunanya untuk jadi tempat sangkut tuala yang mahal, jadi apa ertinya. Untuk taat mengambil ubat-ubatan atau pil-pil setiap hari juga satu cabaran sebenarnya!


Tapi kita memang tak punya pilihan lain kerana Tuhan telah menjadikan kita tetap perlu akur kepada resmi alam. Semua perkara melalui proses dan peringkat. Jelas... kerana Tuhan mengajarkan bahawa perkara yang paling penting iaitu untuk menjadi hamba yang taat pun adalah usaha berterusan. Tidak boleh berlengah.. tiada konsep bila muda boleh leka dan bercita-cita mengumpul pahala hanya di hari tua. Tuhan mengajarkan bahawa menjadi hamba yang hebat adalah usaha sehari-hari tanpa putus. Hidup bersambung wuduk dan solat. Pembersihan diri dan sujud kepadaNya. Tiada qadha kecuali benar-benar wajar, seperti tertidur sebelum masuk waktu solat dan terbangun selepas waktu tamat. Perlunya membina diri dengan makanan yang halal hari demi hari. Mengelakkan maksiat yang akan mematikan hati. Memang tiada jalan yang singkat. Berhati-hati dalam kehidupan kerana satu kesilapan yang nampak kecil boleh membawa impak buruk yang besar!


Tapi bila Tuhan menjadikan sesuatu, pasti ada cara melaksanakannya. Pasti ia boleh dilakukan. Sebenarnya kalau difikir-fikirkan... perkara penting dalam kehidupan hanya perlu 5 MINIT sahaja untuk melakukannya. Sedangkan kalau nak membuang masa kita perlu berjam-jam.


Terasa malas nak solat?

Ya Tuhan... 5 MINIT sahaja sebenarnya. Kesannya, satu ketenangan dan kelapangan dada bila sudah solat yang tak boleh diperkecilkan. Bila dibuat di awal waktu, bukan sahaja lebih afdhal tapi akan memudahkan urusan kita seterusnya, Insya Allah.


Mengaji Al Quran?

5 MINIT sahaja. Lebih-lebih sekali pada zaman ini, tiada alasan bila Al Quran boleh diupload ke dalam PDA atau smartphone. Paling tidak pun, banyak buku surah-surah pilihan bersaiz poket yang boleh dibawa ke mana-mana.


Berdoa?

Ambil 5 MINIT untu berdoa tentang apa yang ingin dicapai. Itu mengukuhkan keazaman dan memperkuatkan semangat menghadapi cabaran.


Rumah berselerak?

Selamat tinggal. Mengemas secara spring cleaning kesannya tidak kekal. Sebenarnya hanya perlu 5 MINIT setiap hari "Aku akan buang 10 barang tak berguna di rumah hari ni", ambillah pen tidak berdakwat, resit, kertas, kotak kosong, bateri yang dah habis, seluar buruk yang dah singkat dan dah koyak dan buang. Pastikan ada 10 barang yang disingkirkan setiap hari. Selepas mengamalkan ini rumah terasa bersih dan kemas dengan sendirinya! Setiap malam sebelum tidur, ambil 5 MINIT untuk meletakkan semula barang-barang ke tempat asalnya.



Nak sihat?

Ambil 5 MINIT untuk ambil madu dan pil vitamin. Jangan biarkan ia luput di almari! Ambil 5 MINIT sediakan air kosong 1.5 liter untuk diminum setiap hari. Ambil 5 MINIT warm up, 5 MINIT bersenam, 5 minit cooling down.


Apalah sangat 5 MINIT tu..


Kalau duduk di komputer sekelip mata sejam dua berlalu. Kalau menonton TV senang-senang sejam dua berlalu. Tapi perkara seumpama itu seringnya adalah batu-batu kecil dan pasir yang akan hanya memenuhkan balang kehidupan. Kita hanya perlu 5 MINIT untuk mengisi batuan berharga yang penting. Kita perlu melakukan setiap hari kerana balang kehidupan bukan satu ruang vakum, jika kita lalai mengisi batuan yang berharga, pasir-pasir yang membazir akan terus masuk mengalir.


Banyak lagi perkara penting yang boleh beres dalam masa 5 MINIT. Kenalpasti perkara itu. Ingatkan diri. Bila rasa malas datang bertandang, bila gelisah datang menjengah... aku hanya perlu 5 MINIT sahaja untuk melakukan satu perubahan besar. Insya Allah.


No comments: