Showing posts with label Karier. Show all posts
Showing posts with label Karier. Show all posts

Sunday, December 9, 2007

Kerja Dalam Cuti, Shah Village PJ, 5-7 Disember

5 DISEMBER 2007

KERJA DALAM CUTI

Walaupun aku tahu memang aku akan sangat sibuk dengan research dan elektif, tapi atas rasa tanggungjawab aku bersetuju bila dipilih ke Retreat 2008 HKL. Retreat ni adalah satu aktiviti untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan psikiatri di HKL. Memang research & elektif 'tergendala' seketika tapi inilah sedikit sumbanganku untuk HKL... tahun depan tak tentu lagi aku di sini!

BAWA KELUARGA...

Kena bayar lebih sikit untuk bilik single, tapi antara lain aku setuju ke retreat sebab abang boleh ambil cuti dan kami semua dapat pergi bersama.

SEDAP MAKAN DI RAK THAI AMCORP MALL

PJ ni memang aku tak biasa. Amcorp Mall pun aku jarang dengar rasanya... taklah sepopular shopping mall yang lain. Tapi, memang ramai betul manusia di dalamnya. Di Rak Thai, aku makan nasi goreng, Abang & Myra makan udon, Nina & Zahra makan kuewteow. Ok jugaklah. Kenyang...

SHAH VILLAGE

Terletak betul-betul di tengah kesibukan PJ; nampak kereta bertali-arus di jalanraya yang sesak dan LRT berulang-alik di landasan ke stesen Taman Jaya yang sepelaungan. Tapi di Shah Village, suasananya jauh berbeza. Tenang dan damai. Disambut ruang lobi yang ringkas, check in dan... pintu cerminnya pun membuka ke landskap hijau dengan kolam renang yang kebiruan. Pokok-pokok palma, pokok langsuir dan bunga jingga sepit udang melukis panorama di sekitar kolam renang.

KELUARGA BEREHAT, IBU BEKERJA :)

Ini kumpulan perbincangan kami, bahagian pesakit luar. Duduk dari kiri: Dr Salina, Nazri, aku, En Raja, Sister Hamidah. Berdiri: Jeyna & Azlin. Kami cuba fokus ke arah peningkatan kualiti dan pembangunan modal insan. Aku rasa berpuashati dengan perbincangan kumpulan yang menumpu kepada perkara-perkara yang penting seperti memperkasakan (empower) perkhidmatan kesihatan primer & mengoptimakan fungsi sebagai Klinik Pakar iaitu tertiary centre. Kalau misi ini terlaksana, itu satu perkembangan yang sungguh baik untuk Hospital Kuala Lumpur. Di samping itu, penilaian objektif untuk kes kecemasan juga akan dimulakan. Klinik Methadone pula perlu pegawai perubatan barulah ada tenaga kerja penggerak. Unit Komuniti tiada masalah, Manual Prosedur Kerja Baru hanya menanti masa dilaksanakan. Idea untuk pengurusan kes komuniti multi-unit juga satu yang sangat bagus... Aku sendiri banyak belajar dari retreat ini...


BERENANG-RENANG DI KOLAM RENANG

Selepas seharian memerah otak (akulah)... ini memanglah waktu yang aku, Abang, Nina, Zara, Myra & El nanti-nantikan. Walaupun hujan turun renyai-renyai... kami semua tak berlengah-lengah.. terjun juga ke dalam kolam! El beriya-iya mengajar aku berenang.. "macam ni ibu, buat tangan macam ni, lepas tu kaki kick.." I find it very interesting to learn from my kids.. they are good teachers, so enthusiastic and positive!



TAK JADI KE EYE ON MALAYSIA

Sebelah malam, aku tetap ada kerja kumpulan. Aku dah beri green light untuk Abang & anak-anak ke Eye On Malaysia walaupun terpaksalah aku kena tinggal (sob sob)... tapi abang tak jadi pergi. Antara lain sebab hujan masih renyai-renyai dan jaan dari PJ ke KL rupanya sesak teruk setiap malam.. jadi bukan satu idea yang bagus untuk ke Eye On Malaysia dari sini. Agaknya, abang pun rasa tak seronok nak pergi kalau aku tak ada tu.. he he.. Anyway, they were having a good time enjoying computer games in the room!

6 DISEMBER 2007

Pagi, ibu kerja. Ayah & anak-anak berendam di kolam renang renang. Tengahari, masing-masing mesti seronok keluar makan di A&W.. berpayung-payung sebab hujan renyai-renyai... Romantik lah suasana tu!
Bila ibu balik kerja petang, ke kolam renang lagi. Dengan skateboard kali ini, pengalaman baru & menarik sebab boleh ke tempat yang lebih dalam dan jauh dengan latihan untuk kaki. Puas rasanya masing-masing berenang minggu ni.. bermula dari Legend Water Chalet ke Shah Village... Malamnya, selepas makan di Uncle Chili, Amcorp Mall, Abang & anak-anak balik ke rumah kerana abang ada kerja esok. Tinggallah aku seorang selepas jam 9.30 malam.... Oppss... Ingatkan nak buat powerpoint presentation tapi dok bersembang dengan Sister Azi, K.Lim & Syazlin di tepi kolam renang sampai dekat tengah malam! Pasal 'hal-hal negara'.. he he.. Negara Jabatan Psikiatri hkl la... Balik bilik jam 11.30pm baru mula buat presentation, dekat 3 jam jugalah... tapi hasilnya memuaskan hatiku dan semua orang! Banyak pula idea kreatifku timbul menghasilkan slides dengan imej-imej yang ada kesan 'dramatik'.. termsuk gambar keluarga berpayung sebelum isu perlindungan pekerja.

7 DISEMBER 2007

Pagi-pagi dikejutkan dengan Ketua Jabatan, Dr Sarfraz mengucapkan tahniah kerana aku terpilih sebagai Best Student dengan anugerah dari satu syarikat farmaseutikal. Alhamdulillah. The strong desire for success will overcome all the challenges!! Selepas pembentangan, makan tengahari dan solat, aku & Dr Mazni balik dengan LRT ke KL Sentral dan komuter ke BBB. Sempat singgah di kedai buku di KL Sentral.. banyak buku menarik tapi aku beli 4 buku sahaja. Seronok sembang dengan K.Mazni sepanjang jalan ke BBB...
GREAT!
Aku harap segala kesimpulan dalam retreat akan dapat diusahakan. Retreat ini tetap satu pengalaman yang menarik... belajar perkara baru, dengan pakar-pakar, dengan kakitangan lain, dan sekaligus bercuti dengan Abang & anak-anak...

Thursday, November 29, 2007

SOHO - Hari 1

Ruang bekerja dari rumah dah selamat berkemas. Itu sudah sangat mencukupi untuk permulaan yang sungguh baik. Hari ini aku perlu mulakan dengan membuat perancangan yang rapi supaya semua berjalan lancar. My to do list untuk esok dan selewat-lewatnya Selasa minggu depan adalah:
  1. Telefon Prof Ariffin
  2. Hantar surat ke KKM
  3. Kemaskini jumlah borang yang telah dihantar dan dikutip semula
  4. Kemaskini nama organisasi dan pegawai yang boleh dihubungi
  5. Hantar ke SAPURA
  6. Follow up PHARMANIAGA
  7. Hubungi HITACHI
  8. Hubungi Fakulti Kejuruteraan UKM
  9. Fax ke Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (dari HUKM)
  10. Install SPSS (dari HUKM)

Insya Allah.. debaran menyiapkan thesis semakin terasa!

Tuesday, November 27, 2007

Hari Kesihatan Mental Sedunia HKL 2007

Aku terkejut sebab ada orang komen dalam blog aku! Thanks to Kevin, whoever you are. Walaupun dalam hati aku berkata; Alamak! Apa-apalah aje yang telah kutulis... Apa-apapun inilah aku, tanpa perlu berpura-pura. Seorang yang masih terkial-kial memperbaiki diri, dalam segala segi. Hari ini bermula dengan bangun awal pagi, tapi tidur kembali. Pukul 6.30 pagi baru kelam-kabut ke bilik mandi. Kenapa ni? Tanda-tanda tak bersemangatlah ni... nak mengharung sesaknya jalan ke tempat kerja, menghadap kerenah boss yang tak tahu lagi macamana hari ini... aku sebenarnya dah tak sesuai kerja makan gaji! Walau bagaimanapun 'Pelancaran Hari Kesihatan Mental Sedunia 2007, Peringkat Hospital Kuala Lumpur' membuka mata dan mindaku. Terutamanya ucapan daripada Profesor Datuk Abu Hasan, pemangku pengarah. Sebagai seorang pakar traumatologi, beliau mengupas isu kesihatan mental dengan bagus sekali. Aku memang sangat setuju dengan saranan beliau supaya profesional dalam psikiatri bersikap lebih proaktif dan masuk ke dalam komuniti untuk membantu ramai orang yang memerlukan perkhidmatan ini. Bukan duduk dalam kepompong sendiri, menanti pesakit datang. Perkhidmatan psikiatri perlu diperluaskan melampaui stigma yang tebal, dan bukan sekadar dilihat sibuk dengan pesakit mental yang serius sahaja kerana ramai orang di luar sana yang mengalami masalah yang kurang serius tapi cukup untuk mengganggu produktiviti dalam pekerjaan. Konsep 'mental wellness' perlu diketengahkan agar masyarakat lebih terbuka dengan isu kesihatan mental. Nah, aku memang tidak silap memilih occupational psychiatry.. walaupun ia adalah satu bidang yang baru di Malaysia. Aku suka cabaran dari sesuatu yang baru! Aku semakin yakin ini adalah satu komponen yang penting bila memperkatakan tentang kesihatan mental. Petang singgah ke kedai buku Rhythm, aku beli buku 'Buat Duit Dari Rumah' dan 'Mengurus Stres'... menariknya kalau boleh buat duit dari rumah dan juga menghilangkan stres. Dua perkara yang kalau beres mungkin aku boleh bangun lebih awal di pagi hari dengan penuh bersemangat. Nampaknya aku sendiri memang belum mencapai tahap mental wellness!

Friday, November 23, 2007

Operasi Mengemas SOHO

Bila kulihat sekeliling.. keadaan di rumah memang di tahap kritikal. Banyak puncanya, sesi persekolahan tahun ini berakhir - 4 anak membawa pulang 4 timbunan buku; paip mesin basuh rosak dan baju tidak berbasuh beberapa hari, aku sendiri pun agak tidak 'terurus' kebelakangan ini... semuanya menyebabkan darjah kekemasan rumah merudum jatuh dari standard yang biasa, yang aku tetapkan. Jadi apa tunggu lagi.... 1, 2, mula....! Mesti siap petang ini juga sebab itulah perancangan yang aku tetapkan dari malam tadi. Good luck to myself.

Thursday, November 22, 2007

Merancang Perancangan

Tanpa perancangan, tanpa agenda, kita akan hanyut dalam hidup yang tak berhenti-henti sibuknya. Jadi aku memulakan SOHOku dengan:
  • Mengemas dan mengatur ruang kerja di rumah
  • Memperuntukkan masa untuk menulis di blog & draf buku
  • Menyiapkan surat-surat untuk mendapatkan peluang praktikal SOHO (surat elektif)

SOHO bermula

SOHO - small office home office. Teringat semasa kecil bermain masak-masak, emak-emak, pondok-pondok. Sekarang aku nak bermain kerja-kerja, kerja dari rumah, ofis di rumah ... aku nak berimaginasi bermula dari sekarang. Elektif dua bulan adalah praktikal SOHO aku. Aku sebenarnya akan menjadi agak sibuk. Bulan pertama aku perlu beri tumpuan 100% untuk penyelidikan. Aku mesti siapkan thesis pada akhir Disember. Aku juga perlu tumpukan untuk self-learning on occupational psychiatry. Aku nak tulis buku. Satu buku satu bulan. Satu buku adalah berkaitan dengan occupational psychiatry - draft. Satu buku berkaitan stress at work for laymen. Satu buku neuro-motivasi (ada tak istilah Bahasa Melayu yang sesuai?). Aku hanya perlukan satu buku yang pertama dan segala-galanya akan lebih mudah selepas itu. Sepertimana aku dah pandai berenang dengan melepasi rintangan terbesar iaitu rasa takut tenggelam.. maka seperti itulah satu buku yang aku tulis dan terbitkan nanti akan membuka jalanku ke dunia penulisan yang sekian lama kuimpikan... Insya Allah.

Misi 2/3 Terlaksana

Berjumpa Professor H sememangnya menceriakan hatiku. Dia punya kepercayaan terhadapku dan menggalakkan aku menjalankan program elektif yang aku cadangkan. Tiada halangan, 3 bulan elektif, katanya. Respons daripada Dr R dan Prof A yang kuminta menjadi penyelia juga nampak positif. Sememangnya aku tahu halangan terbesar adalah daripada Ketua Jabatan untuk memberi pelepasan. Tapi aku tidak mahu komen panjang. Biarlah aku melihatnya dari sudut yang positif; bahawa akhirnya aku telah berjaya mendapatkan 2 bulan elektif dengan hasil usahaku menyiapkan proposal dan mencari penyelia yang berkelayakan. Itu sudah dikira satu kejayaan untuk pelatih sarjana... kerana selama ini ramai yang tidak berjaya langsung mendapat pelepasan elektif. Apa yang dapat kukatakan, senario ini sungguh menyedihkan... memikirkan diri adalah seorang profesional yang telah berkhidmat lebih satu dekad, dalam tahun akhir sarjana kepakaran. Cuba bayangkan kalau aku dalam bidang lain, aku mungkin di tahap lebih tinggi. Aku tidak nampak bagaimana potensi diri dapat berkembang dalam persekitaran sebegini. Yang aku dapat lihat ialah jiwaku memang tidak mungkin mendapat kepuasan bekerja dalam situasi begini! Aku tidak harus mensia-siakan apa yang aku tahu aku boleh lakukan jika diberi peluang.. kerana aku menghargai diriku maka aku harus mencari jalan keluar!

Sunday, November 18, 2007

Misi Yang Besar

Aku ada misi yang sungguh besar iaitu mendapatkan pelepasan untuk program elektif selama 12 minggu. Bukan mudah ni tapi aku mesti berusaha. Elektif ini sangat penting kerana ia menentukan kejayaan penyelidikan perubatan yang aku buat. Entahlah, perjalanan hidup seorang doktor tidak pernah mudah. Orang lain dapat cuti belajar bergaji penuh untuk menyiapkan penyelidikan untuk thesis masing-masing. Doktor ? Bekerja, on call, kena buat penyelidikan untuk thesis juga, kenaikan pangkat pun ditangguhkan hingga habis belajar dengan alasan 'sedang cuti belajar' sedangkan mana cutinya? Semua ini cabaran yang perlu dilalui bagi mengejar satu 'kepakaran' dalam dunia perubatan. Ok, tak mengapa. The bitter the struggle the sweeter the success. Patah sayap kubertongkatkan paruh, gunung kudaki, kudaki jua!!Apa yang pasti, selepas sukses nanti, aku akan betul-betul menghargai apa yang aku perolehi dan tidak semestinya aku melakukannya dengan cara biasa.