Showing posts with label Resipi Ekspres. Show all posts
Showing posts with label Resipi Ekspres. Show all posts

Wednesday, January 2, 2008

Resipi tradisional: Ikan Patin Masak Tempoyak

Abang terkagum.. kenapa aku pandai masak tempoyak ni. Pertama kali katakan.. thanks to Norhayati @ http://resepi.mesra.net/Detailed/5782.shtml

Mudah sungguh rupanya.

Ikan patin dibasuh dan diperap dulu dengan asam jawa + perahan limau nipis selama sejam untuk hilang bau hanyir
Kisar 6 bawang merah + 10-20 cili api + seibujari kunyit hidup
Campur dengan 2 senduk tempoyak + 3 cawan air
Boleh masuk 1 serai dititik
Didihkan, masuk 1 asam keping + garam
Masukkan ikan
Masukkan daun kesum
Siap

Abang mula-mula ingat tak nak makan malam (sebab nak jaga badan) tapi menyerah kalah. Sori yek...

Monday, December 31, 2007

SOHO - Hari 31

Sepagian mencari literiture tentang Job Content Questionnaire.

Lepas tu mencari literiture untuk menu tengahari. Plan hari ni nak habiskan sebotol madu lama kerana dah beli Madu Khaula yang baru. Madu lama tu tak ada jenama, itu tak kisah sangat tapi rasanya masam sikit. Jadi siaplah ayam masak madu adaptasi dari resepi di http://babysofea.fotopages.com/?entry=911771.

Bahan-bahannya adalah: ayam digoreng, sosnya adalah (bwg besar + bwg putih + halia + cili kering) kisar + serai titik + kayu manis, bunga lawang semua ditumis, masukkan sos cili + madu (2x ganda dari sos cili). Yang penting Nina, Zahra & Myra semua suka...

Banyak lagi literiture search yang perlu aku buat:
General health questionnaire
Work family conflict
Coping strategies
Social support

But it's something that I love to do.

Sunday, December 30, 2007

Resipi Ekspres: Nasi Paprik Ringkas



Apa yang penting mengenai nasi paprik ini ialah ia memang mudah dan ekspres untuk disediakan kerana lauk dan sayur dalam satu hidangan. Sekali masak semua siap. Bahan-bahannya pun bahan biasa.

Boleh menggunakan ayam/daging/sotong/udang

Sayur-sayuran yang pelbagai sesuai digunakan macam lobak merah, kobis bunga, jagung muda, kacang panjang.. kalau ada semua memang best sebab setiap sayur ada rasa dan warna yang berbeza. Kan petua makanan yang berkhasiat adalah makan makanan pelbagai warna. Kalau tidak ada semua pun okay.


Dimulakan seperti biasa: bawang merah, bawang putih

Bahan lain ialah bahan-bahan biasa: cili api, serai dan daun limau purut (semua ada di belakang rumah... tapi kalau tak ada pun bukan masalah besar sangat cuma sebaiknya sekurang-kurangnya satu kena ada la)

Ditumis semuanya dengan sedikit minyak

Campurkan sos cili + sos tomato + sos tiram

Masukkan daging atau makanan laut pilihan dan kemudian barulah sayur-sayuran biar rangup dan segar.

Dulu-dulu rasa macam complex dan rumit aja nasi paprik ni. Tapi Ain pernah kata masaknya simple aje. Memang betul pun. Main campak-campak aje bak kata orang dan hasilnya memang cukup memuaskan. Cubalah.. cewah. Tak perlu risau tentang sukatan, semuanya memang boleh main agak-agak secukup rasa. Percayalah...

Resipi Ekspres: Pizza Wholemeal Ekspres

Alamak.. ada lagi nenas tak habis, selepas buat nasi goreng nenas. Dan ada sebuku setengah roti wholemeal tidak terusik.... cari-cari dalam internet dapat idea pizza instant, menggunakan sardin kat http://resepi.mesra.net/Detailed/3492.shtml. Bagus ubahsuai resipi ni.



Roti wholemeal ni bagus sangat berbanding roti putih kerana kandungan serat yang tinggi dan lebih natural. Rasul Allah sendiri memang mengamalkan memakan tepung yang gandumnya dikisar kasar. Tapi, cubaan untuk mengamal gaya hidup sihat memang lebih mencabar. Buktinya beli roti wholemeal tapi tak siapa nak makan! Kalau roti putih tu, cepat saja jalan. Tapi roti wholemeal sebenarnya sedap... cuma kena terlebih 'rajin' sikitlah.... sebab dia tak begitu 'enak dimakan begitu saja...'


Ini Pizza Wholemeal Ekspres
Sedia untuk dibakar


Roti wholemeal, disapu mentega, diletak sos tomato, aturkan sosej yang dihiris nipis, mixed vegetable dan nenas, ditabur keju cheddar. Boleh juga ditabur lada sulah atau oregano kalau ada. Bakar 10 minit dengan suhu 200 - 250 darjah celcius. Makan panas-panas. Licin sebuku roti wholemeal!
Sedia intuk di'nyum-nyum'

Friday, December 28, 2007

Resipi Ekspres: Nasi Goreng Nenas


P.Ramlee kata tukang masak kerjanya enteng. Bangun pagi masak nasi goreng. Campur cili campur udang kering. Bila makan mata naik juling!

Jadi sesuailah. Resipi ni resipi main campak-campak, memang ekspres. Nak memanfaatkan nenas sebijik dari kampung. Suku bahagian nenas dah buat siakap tiga rasa hari tu. Tinggal 3 suku.. he he..

Bahan-bahan

Nasi putih

Ayam dipotong kecil dan udang dibuang kulit diperap dengan lada putih + kicap + garam

Minyak dan sesudu makan majerin dipanaskan

Tumiskan 5 biji bwg merah cincang + 2 biji bwg putih cincang + 5 biji cili api

Masukkan ayam & udang yang diperap

Masukkan nasi, nenas dipotong kiub, cili merah cincang

Taburkan bawang goreng dan kismis

Makan...
Fuhh.. sedapnya!


Resipi diadaptasi dari http://www.geocities.com/iwede/


Monday, December 24, 2007

Aidil Adha di Springhill 1428/2007


Aidil Adha tahun ni di Springhill. Ambil peluang belajar masak 'Rendang Rembau Ibu Mertuaku' dan 'Sambal Kacang Ibu Mertuaku'.. yalah, nanti tak lama lagi bila mak ada menantu baru, menantu lama masih tak tau buat rendang; jatuh saham pulak! Sedari Aidil Fitri dah nak belajar (selepas tahu Angah dah ada 'makwe') tapi mak tak merendang pulak raya tu, sebab ayah dah tempah berbagai jenis rendang daripada tukang masak istana. Aidil Adha ni tercapailah hajat nak belajar. Buat trifle lagi (nak menebus kesilapan raya tahun lepas, buat trifle tak jadi, he he). Kali ni lebih hebat sebab dihiasi limpahan yogurt bersari mangga, dengan buah-buahan segar anggur hitam & strawberi di atasnya. Fuh... sedapnya...

Jalan ke Ulu Sepri, Rembau

Pagi Raya, berehat-rehat di rumah.. sementara menanti kaum adam melapah daging. Menjelang petang barulah balik kampung di Rembau, menziarah kedua-dua Wan di kampung. Mula-mula ke Ulu Sepri yang tetap menghijau, wah ramainya berkumpul di sana! Lepas tu ke Kota.



RESIPI RENDANG REMBAU (Preliminary... sebab belum belajar buat rempahnya betul-betul, nanti bila dah belajar betul-betul & ada gambar, akan dikemaskini semula.. he he.. kena tulis cepat-cepat ilmu yang berharga, takut lupa)


2 ekor ayam - potong-potong, seeloknya ayam kampung @ ayam pencen @ itik

20 bawang merah - tumbuk

10 bawang putih - tumbuk

2 inci Halia - tumbuk

6 Serai - titik

Santan dari 6 biji kelapa bandar yang kecik-kecik / 4 biji kelapa kampung yang besar-besar

Cili kisar - agak-agak mak kata, nak pedas letak banyak

Rempah rendang iaitu:

3 ringgit ketumbar

1 ringgit setiap satu rempah (jintan manis + jintan putih + lada hitam + kayu manis + bunga lawang + bunga cengkih)

Semuanya disangai atau di'microwave' dan dikisar kering.


La.. seringit ni nak beli kat kedai mana mak, Tesco ke Lian Yik? He he

Kalau harga rempah dah naik karang tak valid pulak resipi ni.. he he


Apa pun semua bahan tu dicampurkan dengan ayam dalam satu kuali dan dimasak sehingga jadi rendang. Perasakan dengan garam. Eh.. sonang yo, omak yo... sodap pun sodap. He he..


RESIPI SAMBAL KACANG


Cili kering kisar - agak-agak

Bawang merah - tumbuk

Bawang putih - tumbuk

Halia - titik

Lengkuas - titik

Serai

La.. tengok tu aku tak tengok betul-betul jumlahnya. Tumiskan semua di atas tu. Masukkan ayam yang dipotong kecil. Masukkan kacang tanah kisar, nak senang dan sihat masuk microwave 5-10 minit dan kisar. Masukkan air, gula melaka dan gula biasa. Masak hingga pekat dan pecah minyak. Siap.


Rasa tak pass lagi la aku raya ni...


Sunday, December 16, 2007

Resipi Ekspres: PUDING TRIFLE COCKTAIL

Lapisan 1:
Mula-mula susunkan kek swiss roll sebarang perisa kegemaran anda seperti pandan, vanilla atau coklat.
Tuangkan sirap buah-buahan cocktail ke atasnya untuk membasahkan kek swiss roll tadi.

Lapisan 2:
1 tin susu cair + 1 tin air + 7 sudu besar gula dididihkan dan dikacau dari masa ke semasa
Bancuh 4 sudu tepung kastad dengan 1/2 gelas air (kira-kira 200ml)
Bila bancuhan susu mendidih, masukkan bancuhan kastad dan perlahankan api, kacau hingga pekat sikit dalam 4-5 minit
(Aku pernah buat silap dulu-dulu sebab masukkan terus tepung kastad dalam susu, tak dibancuh dengan air dulu. Hancuss.. cair je jadinya kastad tu. Dah la buat kat rumah mak mertua.. he he.. kuang-kuang, nasib baik mak mertua sporting je. Kiranya resipi yang di atas ni insyaAllah jadi, sebab langkah demi langkah diberikan walau untuk orang yang tak reti masak macam aku sekalipun, cewah...)

Lapisan 3:
Bila kastad agak beku sikit, bolehlah diletakkan buah-buahan koktail di atasnya.
Seterusnya bancuhlah krystal jelly mengikut sukatan pada peketnya dan tuangkan ke atas buah-buahan koktail tadi. Boleh guna sebarang perasa kegemaran tapi cantik kalau warna merah.
Walaupun namanya trifle sepatutnya 3 lapisan, tapi sedap lagi kalau ditambah lapisan lain di atasnya seperti letak yogurt atau whipping cream.
Dan memang sedap lagi kalau dimakan dengan buah-buahan lain yang dihisakan di atasnya lagi seperti strawberi, peach, anggur.. yummie yummie

Buat trifle ni untuk dibawa ke Homestay Bukit Jati... Ain yang sebut trifle ni, jadi Ain punya pasal no problem, bak kata Jiha orang Sabah celup tu; "boleh bah kalo ko". Memang ekspres sungguh membuatnya. Aku suka sebab resipi ni menggunakan bahan-bahan semuanya satu-satu tin, jadi tak ada baki-baki yang kena simpan dan akhirnya rosak macam tu aje:).

Hasilnya memang cantik & sedap! Cubalah.



Resipi diadaptasi daripada maizana di http://www.melayu.com/sembang2/mesej.php? 12.0000000755 (Terima kasih banyak-banyak!)

Thursday, December 13, 2007

Resipi Ekspres Nina: Sotong Masak Sos NinZaMa

Inilah Sotong Masak Sos NinZaMa
Nina jadi chef hari ni, dibantu assistant chef Zahra dan assistant chef Myra. Siap... sementara ibu dan El keluar beli botol susu baru. Gambar nampak tak menyelerakan sebab kualiti fotografi (harap maaf) tapi rasanya sangat-sangat gempak.. maklumlah pertama kali puteri-puteri ni masak sendiri!

Kata Nina & Myra caranya macam ni:

First first kena potong bawang dan cili
Lepas tu letak minyak dalam kuali, tunggu sampai panas
Lepas tu letak bawang dengan cili
Lepas tu letak sotong
Lepas tu tunggu sampai masak
Lepas tu letak sos tomato 3 sudu besar ( agak-agak la ikut banyaknya sotong)
Lepas tu letak sos cili 4 sudu besar
Lepas tu letak kicap 2 sudu besar
Lepas tu kacau-kacau
Lepas tu dah siap


Sedap... terus licin sampai tak tinggal satu pun lagi. Ibu pun suka sangat.
Apa perasaan kakak Nina & kakak Myra lepas memasak? "Gembira la.."
Apa perasaan kakak Zahra lepas memasak? "Ha?... gembira la.. heh"

Tuesday, December 11, 2007

RESIPI EKSPRES: UDANG GORENG MENTEGA EKSPRES


Ini menu malam ni yang siap sekelip mata dan habis sekelip mata...

Udang besar (dalam 400 gram) dibelah belakang tanpa dibuang kulit, cuci dan tuskan.
Perap dengan ½ sudu teh garam + ½ sudu teh lada sulah + 2 sudu besar tepung selama 10 minit
Cairkan 50 gram mentega dalam kuali
Tumiskan 10 cili api + 2 tangkai daun kari
Masukkan udang
Masukkan 2 sudu susu cair

Sedap sungguh… terus licin dalam masa sekelip mata!

Ini sebenarnya resipi ubahsuai dari UDANG GORENG BERSOS MENTEGA yang ada di tin Krimer Sejat F & N warna pink

Ikut resipi tu macam gini...

Udang diperap dengan ½ sudu teh garam + ½ sudu teh lada sulah + 2 sudu besar tepung selama 10 minit
Udang digoreng dulu
Cairkan 80 gram mentega
Tumiskan 10 cili api + 2 tangkai daun kari
Masukkan 100 ml krimmer sejat F & N
Masukkan bahan perasa: ½ sudu teh garam + ½ sudu teh lada sulah + ½ sudu teh serbuk pati ayam + 1 sudu teh gula

Pernah buat.. sedap juga, Cuma waktu tu rasa masin sikit dan rasa terlampau berlemak... Jadi resipi ubahsuai tu kurang minyak, garam & gula. Lebih sihat pada rasa yang tetap sedappp...

Monday, December 10, 2007

Resipi: Dendeng Daging Seberang


Resipi malam ni diambil dari 'Resipi Ekspress 30 Minit Chef Kamarul' tapi langsung tak ekspress.. nasib baik ramai pembantu di dapur.
Mula-mula rebus daging (resipi: 600g) dengan 1 sudu besar ketumbar + 1 sudu kecil jintan manis + 1 sudu besar jintan putih + garam.
Bila dah empuk, angkat, hiris nipis dan tumbuk. Ini dilakukan oleh El & Ma. Ibu hiris, El ambik, Ma tumbuk.
Goreng daging... Kakak Nina buat.
Kisar 8 cili merah + 3 tomato + 1 bawang besar + 3 bawang putih (alamak bawang putih habis dah! Takpe...)... ini Zahra buat
Tumis bahan kisar, masuk 1 asam keping (habis jugak.. ganti asam jawa sikit).. letak garam & gula secukup rasa.
Hasilnya boleh tahan. Nampak bila dah jadi tu macam banyak tapi bila dah makan tinggal sikit. La, memanglah.. takkan dah makan jadi lagi banyak pulak.. he he.

Resipi Ekspress: Ketam Merah Menyala

KETAM MERAH MENYALA

Dah cuba memasak dari "Resipi Ekspress 30 Minit".. ekspressnya sebab bahan-bahannya mudah. Ubahsuai sebab guna lebih ketam..




Senang je..


7 ekor ketam goreng setengah masak & angkat dulu


4 bawang merah + 2 bawang putih + seibu jari halia dicincang dan ditumis


Masukkan 10 sudu besar sos cili + 6 sudu besar sos tomato + 1 sudu besar kicap cair + 2 sudu besar gula


Masukkan ketam dan tutup kuali seketika


Pecahkan 2 biji telur


Siap... abang makan hingga menjilat jari. Nina & El pun bertambah-tambah ketam..