Showing posts with label Cuti. Show all posts
Showing posts with label Cuti. Show all posts

Sunday, December 16, 2007

Homestay @ Bukit Jati (Ain & Asri), 14 Dis 07

EL 'MENGHITUNG HARI'

Berhari-hari El mem'packing' permainannya nak dibawa ke rumah Onan & Una. Kalau boleh semua nak dibawanya. Tapi lepas kena amaran 'luggage' El cuma 200 gram aje terpaksalah El berpuashati membawa satu karung kecik permainan aje. Wah, memang bukan main seronok Nina, Zahra, Myra & El bila diberitahu kita semua nak tidur semalaman di rumah Mak Ngah & Pak Ngah. Sama seronok macam nak pergi bercuti kat hotel tepi pantai aje... Petang-petang tu semuanya tak banyak soal bila disuruh tidur, biar malam mata segar bugar. Selalunya manalah pernah budak-budak ni tidur petang-petang. Jarang-jarang bonar! (Tu gambar EL posing sakan dengan Una kat kampung raya lepas, masa tu blog ni tak wujud lagi..)



AIN, KENAPA KITA TAK BERJIRAN AJE?

Perjalanan ke Bukit Jati ok lah, lalu highway tapi kereta memang banyak. Tiba-tiba aku terfikir - sebab teringat betapa 'kamceng'nya aku dengan Ain masa kecik-kecik dulu - kenapa aku tak duduk dekat-dekat aje dengan Ain tu sekarang. Kan senang. Boleh shopping sama-sama, jalan-jalan, buat bisnes sama-sama ke, bagus jugak. Tapi apakan daya, macam gitulah kehidupan, kan. Sampai masa masing-masing akan berkeluarga dan ada jalan hidup sendiri. Macam gitulah Nina, Zahra, Myra, El, Afnan, Husna & Ikmal semuanya nanti... sebab itulah setiap saat yang kita ada dengan insan tersayang mesti dihargai dan digunakan sebaiknya! (Ni pun gambar raya, Dato' Asri, Datin Ain & Ikmal. Terselit gambar kat belakang tu; Farhana)

MAKAN NASI AYAM & TRIFLE

Sampai di Bukit Jati, jam 8.30 malam... dah bosar rumah Pak & Mak Ngah lepas renovated. Ada dry & wet kitchen. Ada sofa baru, contemporary design. Toiletnya El kata "macam kat hotel, kan ibu?". Sampai-sampai terus dijamu nasi ayam Mak Ngah Ain. Berselera masing-masing makan. Lepas tu, makan trifle dengan yogurt Mak Long pulak, makan dengan anggur segar macam Pak Ngah Asri lagi terangkat rupanya. Ain, kalau nak resipi nanti kakak uploadkan.

LEPAK-LEPAK


Lepas tu lepak-lepak, sambil tengok TV, budak-budak semua dah memunggah keluar permainan.
Sambil tengok tv, aku sempat key in my research data.
Mak Ngah Ain pun tak lupa sambil-sambil tu menunjukkan kepakaran membuat roti; dinner bread.



Inilah suasana meriah di Homestay Bukit Jati. Wah, Ain, cantik rumah dalam gambar ni. "Memanglah" kata Ain :). Boleh masuk Anjung Seri.



Pukul 12 malam, baru semua tidur dengan nyenyaknya... zzz... zzz...





SARAPAN SPAGHETTI & HOMEMADE ROTI

Wah, dah biru mata Pak Ngah Asri rupanya! Makan spaghetti & roti. Sodap makan... nyam nyam yummie..


JEMPUTLAH HOMESTAY @ BBB

Lepas sarapan, kita semua terpaksa minta diri sebab nak pergi Sri Ayesha's Open Day. Tak sempatlah nak pergi Jusco, the biggest in South East Asia/Asia kebanggaan Pak Ngah tu, he he... Oh ya.. Afnan pagi-pagi dah keluar berlatih futsal, jadi masa balik tak jumpa Afnan... main betul-betul sampai menang, ok Afnan!


Seronok jugak sesekali homestay ni, kan. Pak Ngah, Mak Ngah, Afnan, Husna & Ikmal, jangan lupa buat 'kunjungan balas' ke Bandar Baru Bangi tau! Lepas tu kita boleh jalan-jalan Alamanda ke, taman-taman kat Putrajaya ke.. orait!?

Sunday, December 9, 2007

Kerja Dalam Cuti, Shah Village PJ, 5-7 Disember

5 DISEMBER 2007

KERJA DALAM CUTI

Walaupun aku tahu memang aku akan sangat sibuk dengan research dan elektif, tapi atas rasa tanggungjawab aku bersetuju bila dipilih ke Retreat 2008 HKL. Retreat ni adalah satu aktiviti untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan psikiatri di HKL. Memang research & elektif 'tergendala' seketika tapi inilah sedikit sumbanganku untuk HKL... tahun depan tak tentu lagi aku di sini!

BAWA KELUARGA...

Kena bayar lebih sikit untuk bilik single, tapi antara lain aku setuju ke retreat sebab abang boleh ambil cuti dan kami semua dapat pergi bersama.

SEDAP MAKAN DI RAK THAI AMCORP MALL

PJ ni memang aku tak biasa. Amcorp Mall pun aku jarang dengar rasanya... taklah sepopular shopping mall yang lain. Tapi, memang ramai betul manusia di dalamnya. Di Rak Thai, aku makan nasi goreng, Abang & Myra makan udon, Nina & Zahra makan kuewteow. Ok jugaklah. Kenyang...

SHAH VILLAGE

Terletak betul-betul di tengah kesibukan PJ; nampak kereta bertali-arus di jalanraya yang sesak dan LRT berulang-alik di landasan ke stesen Taman Jaya yang sepelaungan. Tapi di Shah Village, suasananya jauh berbeza. Tenang dan damai. Disambut ruang lobi yang ringkas, check in dan... pintu cerminnya pun membuka ke landskap hijau dengan kolam renang yang kebiruan. Pokok-pokok palma, pokok langsuir dan bunga jingga sepit udang melukis panorama di sekitar kolam renang.

KELUARGA BEREHAT, IBU BEKERJA :)

Ini kumpulan perbincangan kami, bahagian pesakit luar. Duduk dari kiri: Dr Salina, Nazri, aku, En Raja, Sister Hamidah. Berdiri: Jeyna & Azlin. Kami cuba fokus ke arah peningkatan kualiti dan pembangunan modal insan. Aku rasa berpuashati dengan perbincangan kumpulan yang menumpu kepada perkara-perkara yang penting seperti memperkasakan (empower) perkhidmatan kesihatan primer & mengoptimakan fungsi sebagai Klinik Pakar iaitu tertiary centre. Kalau misi ini terlaksana, itu satu perkembangan yang sungguh baik untuk Hospital Kuala Lumpur. Di samping itu, penilaian objektif untuk kes kecemasan juga akan dimulakan. Klinik Methadone pula perlu pegawai perubatan barulah ada tenaga kerja penggerak. Unit Komuniti tiada masalah, Manual Prosedur Kerja Baru hanya menanti masa dilaksanakan. Idea untuk pengurusan kes komuniti multi-unit juga satu yang sangat bagus... Aku sendiri banyak belajar dari retreat ini...


BERENANG-RENANG DI KOLAM RENANG

Selepas seharian memerah otak (akulah)... ini memanglah waktu yang aku, Abang, Nina, Zara, Myra & El nanti-nantikan. Walaupun hujan turun renyai-renyai... kami semua tak berlengah-lengah.. terjun juga ke dalam kolam! El beriya-iya mengajar aku berenang.. "macam ni ibu, buat tangan macam ni, lepas tu kaki kick.." I find it very interesting to learn from my kids.. they are good teachers, so enthusiastic and positive!



TAK JADI KE EYE ON MALAYSIA

Sebelah malam, aku tetap ada kerja kumpulan. Aku dah beri green light untuk Abang & anak-anak ke Eye On Malaysia walaupun terpaksalah aku kena tinggal (sob sob)... tapi abang tak jadi pergi. Antara lain sebab hujan masih renyai-renyai dan jaan dari PJ ke KL rupanya sesak teruk setiap malam.. jadi bukan satu idea yang bagus untuk ke Eye On Malaysia dari sini. Agaknya, abang pun rasa tak seronok nak pergi kalau aku tak ada tu.. he he.. Anyway, they were having a good time enjoying computer games in the room!

6 DISEMBER 2007

Pagi, ibu kerja. Ayah & anak-anak berendam di kolam renang renang. Tengahari, masing-masing mesti seronok keluar makan di A&W.. berpayung-payung sebab hujan renyai-renyai... Romantik lah suasana tu!
Bila ibu balik kerja petang, ke kolam renang lagi. Dengan skateboard kali ini, pengalaman baru & menarik sebab boleh ke tempat yang lebih dalam dan jauh dengan latihan untuk kaki. Puas rasanya masing-masing berenang minggu ni.. bermula dari Legend Water Chalet ke Shah Village... Malamnya, selepas makan di Uncle Chili, Amcorp Mall, Abang & anak-anak balik ke rumah kerana abang ada kerja esok. Tinggallah aku seorang selepas jam 9.30 malam.... Oppss... Ingatkan nak buat powerpoint presentation tapi dok bersembang dengan Sister Azi, K.Lim & Syazlin di tepi kolam renang sampai dekat tengah malam! Pasal 'hal-hal negara'.. he he.. Negara Jabatan Psikiatri hkl la... Balik bilik jam 11.30pm baru mula buat presentation, dekat 3 jam jugalah... tapi hasilnya memuaskan hatiku dan semua orang! Banyak pula idea kreatifku timbul menghasilkan slides dengan imej-imej yang ada kesan 'dramatik'.. termsuk gambar keluarga berpayung sebelum isu perlindungan pekerja.

7 DISEMBER 2007

Pagi-pagi dikejutkan dengan Ketua Jabatan, Dr Sarfraz mengucapkan tahniah kerana aku terpilih sebagai Best Student dengan anugerah dari satu syarikat farmaseutikal. Alhamdulillah. The strong desire for success will overcome all the challenges!! Selepas pembentangan, makan tengahari dan solat, aku & Dr Mazni balik dengan LRT ke KL Sentral dan komuter ke BBB. Sempat singgah di kedai buku di KL Sentral.. banyak buku menarik tapi aku beli 4 buku sahaja. Seronok sembang dengan K.Mazni sepanjang jalan ke BBB...
GREAT!
Aku harap segala kesimpulan dalam retreat akan dapat diusahakan. Retreat ini tetap satu pengalaman yang menarik... belajar perkara baru, dengan pakar-pakar, dengan kakitangan lain, dan sekaligus bercuti dengan Abang & anak-anak...

Monday, December 3, 2007

Legend Water Chalet 1-2 December 2007

THE WATER CHALET
Mula-mula hajatnya cuma nak bercuti di Pedas Water World.. tapi jadinya satu percutian yang jauh lebih hebat di Legend Water Chalet, Port Dickson! Terima kasih banyak-banyak kepada Ayah & Omak kerana mendapatkan 'tajaan' penginapan dua hari satu malam di water chalet yang sungguh menarik. Memang menarik...



Masuk-masuk sahaja ada jakuzi peribadi,
ada pancuran air mandi berbumbungkan langit biru,
ada lantai lutsinar nampak air laut beralun,
...ada anjung terbuka dan angin menerpa dengan ombak yang tak jemu memukul pantai. Seronoknya!

Dari wakaf ni nampak tempat kerja Angah...

NIKMAT BERENANG
Pukul 2 petang, masing-masing tak sempat-sempat terjun ke kolam renang. Kononnya pakai sunscreen lotion tapi akhirnya nanti tetap juga sunburn. Maklumlah panasnya masih terik. Yang kelakar semua jadi 'panda terbalik', kulit hitam, mata putih sebab terlindung dengan goggle. Abang masuk kolam pukul 4 petang, lepas tu Angah pulak datang. Ramai-ramai masuklah kami ke kolam yang dalamnya 4 kaki (Sebelum tu masing-masing dok merungut kerana terpaksa main-main di kolam cetek kanak-kanak). El memang berani betul... aku yang terjerit-jerit menengoknya. Nina & Myra pun sudah agak cekap. Zahra yang nampak takut-takut... tapi aku cuba beri dia semangat... Aku sendiri memang seronok sangat dapat berenang-renang. Sungguh tak kusangka, akhirnya aku dapat menikmati seronoknya berenang.. Rugi-rugi siapa yang tak tahu berenang!

MAKAN LOBSTER
Malamnya ayah & omak belanja makan lobster di Seaview Restaurant. 2 kilo lobster RM300! Tapi memang sedap betul. Ditambah lagi dengan perut yang memang tengah lapar...

JAKUZI

Balik makan malam, anak-anak dah tidur, sempat berjakuzi pula. Fuhhh... relaksnya...
SHOW HOUSES WITH PRIVATE POOLS

Lepas sarapan esok paginya (ayah belanja lagi), Mr Aiman tunjukkan show house untuk fasa seterusnya. Sangat mengagumkan. Bali style. Ada kolam renang dalam rumah!
Dari landskap, rekabentuk rumahnya, sampai kemasan dalamnya semuanya memang hebat. Macamanalah rupanya syurga Tuhan yang tak tergambar hebatnya, kalau setakat rekaan manusia pun kita sudah terpana!
BERENANG DENGAN ABANG
Pukul 10 pagi, sebelum balik... berenang lagi, walaupun menjelang tengahari. Seronok sekali dapat berenang dengan abang ke tengah kolam. Abang berenang, aku ikut dengan berpaut kepada abang, sesekali cuba bernafas... barulah terasa ada kemajuan dalam teknik renangku.. he he.. Abang kata aku tunjukkan satu perubahan yang sungguh drastik... dari penakut air gile... tiba-tiba 'pandai berenang'.. he he.. semuanya kerana keinginanku dan minat pada air dan kerana anak-anakku pandai berenang semuanya. Tak sanggup aku ketinggalan bila semua bersukaria!
SOLAT DI ANTARA DEBURAN OMBAK
Bersyukur kepada Tuhan di atas segala nikmatnya. Solat di anjung antara deburan ombak terasa syahdunya... Suara ombak adalah muzik terindah yang tiada tandingannya.
SELAMAT TINGGAL WATER CHALET... KAMI AKAN DATANG LAGI
Dengan wajah-wajah 'panda terbalik' yang dibakar matahari... kami pun meninggalkan water chalet dengan impian untuk pasti datang lagi!