Hari pertama 2008, kita sambut dengan jamuan laksa penang kegemaran keluarga. Seperiuk besar, habis dimakan berulang kali dalam sehari. Memasak sekarang macam menjadi satu hobi! Bukan apa, anak-anak tengah seronok dan sedap makan, jadi menyediakan makanan dan tengok anak-anak makan menjadi satu kepuasan. Walaupun cuti, aku tidak boleh tinggalkan tugasan research seratus-peratus, tetap kena sentuh juga. Biar sedikit jangan tak buat langsung! Alhamdulillah, sepanjang hujung minggu dan cuti tahun baru aku dah study CISS, JCQ, WFC & FWC iaitu semua soalselidik yang digunakan dalam research.
Malam-malam, melepak dengan Nina, Zahra & Myra sambil tidurkan El. Mula-mula buat aktiviti sambung menyambung cerita... seronok betul budak-budak tu. Lepas tu masing-masing sibuk nak tahu cerita aku masa kecil-kecil...
Cerita di sekolah:
- Cerita aku yang kedekut tak bagi kawan air minuman bekal (sebab dia budak lelaki) selepas Pendidikan Jasmani (PJ) tapi tengok-tengok lepas tu air aku tumpah semuanya!
- Cerita ada orang pekenakan aku dengan letak beberapa ekor ulat beluncas dalam meja. Yang kelakarnya waktu tu aku tidak terfikir langsung yang ada orang nak pekenakan aku. Aku ingat ulat tu berjalan sendiri dari akuarium di belakang kelas kerana aku duduk paling belakang sekali.
- Cerita aku pertama kali naik basikal ke sekolah waktu darjah tiga, kena naik basikal roda tiga ke sekolah sebab mak takut aku jatuh, walaupun aku dah pandai naik basikal! Habis kena usik budak-budak lelaki.
Cerita di rumah:
- Cerita aku main rumah-rumah di pokok getah dengan Ain & An. Ami masa tu kecik lagi. Setiap orang ada rumah sebatang pokok getah yang masing-masing akan bertenggek di atasnya dan masak-masak, jalan-jalan rumah orang, tengok kera bergayut. Lepas pokok getah ditebang, pindah pulak ke pokok mangga depan rumah. Permainan berakhir bila terasa diri dah besar dan malu nak memanjat-manjat tepi jalan...
- Cerita mengutip setem di atas loteng rumah kayu atuk & nenek dan lepas tu jadi pengumpul setem kononnya. Terjumpa surat yang Pak Uda tulis kepada Mak Lang yang berada di Mekah dengan nenek dan atuk, beritahu "Kak Minah sudah selamat lahirkan anak perempuan, namanya... (nama aku la)."
- Cerita Pak Uda kena sengat ikan keli waktu tangkap ikan dalam parit yang diempang untuk buat jambatan baru yang ada kelongkong. Cerita haiwan-haiwan yang banyak berkeliaran waktu aku kecil; cicak kobeng yang boleh terbang, burung but-but, burung ayam-ayam, tenggiling, undur-undur bawah rumah... dah nak pupus agaknya semuanya. Cicak kobeng tu mesti dah pupus terus! Undur-undur tu pun wujud lagi ke sekarang?!
- Cerita atuk dengan senapang patahnya, macam satu pertunjukan bila atuk menembak biawak yang mencuri telur ayam.
Nostalgia. Bila terkenang semasa dulu. Betapa berubahnya kehidupan hanya dalam satu generasi. Hari ini.. tahun baru datang lagi. Sambil berkongsi cerita dengan anak-anak... aku terfikir, saat-saat begini di mana semuanya masih di depan mata bukanlah satu yang akan kekal selama-lamanya. Saat di mana anak-anak memerlukan kehadiran ibu dan ayah mereka secara fizikal bukanlah selama-lamanya. Akan tiba waktu, mereka menjadi semakin dewasa... when mother's love means letting go.
Memang terasa semakin kuat hasrat untuk bekerja sendiri. Walaupun 2008 ini aku perlu menamatkan pengajian dulu, dan membuat gazettement sebagai pakar. Setahun aje lagi...
No comments:
Post a Comment