Monday, November 26, 2007

Isnin Yang Biru

Pagi tadi, aku terjaga tepat jam lima pagi. Oh, tidak! Hari Isnin! Terbayang bersesak-sesak di jalanraya dengan kereta-kereta lain menuju ke Kuala Lumpur. Diikuti mesyuarat pagi Isnin yang penuh omelan dan kritikan daripada Ketua Jabatan. Oh.. satu permulaan yang 'baik' untuk hari-hariku dalam minggu ini!! Seperti biasa. Begitulah. Aku pun menarik semula selimut. Berharap boleh tidur kembali dan melupakan realiti yang perlu aku hadapi. Tapi realiti tetap realiti! Akhirnya aku kena bangun juga, jam sudah 6 pagi, terkocoh-kocohlah aku menyiapkan diri ke tempat kerja. Mandi, solat, gerakkan anak-anak bangun solat subuh (pastinya tak cukup sekali), turun ke bawah 'bertekak' seketika dengan pembantu rumah yang mematahkan kepala paip, menyebabkan mesin basuh tak dapat diisi air. Aduh.. sarapan roti dan koko crunch untuk anak-anak yang siap terhidang kujeling sekilas dengan rasa bersalah. Kalaulah aku boleh menyiapkan makanan yang lebih sedap & mengenyangkan! Memang tak sempat, malam tadi pukul 11 baru tiba dari kampung selepas menghabiskan hujung minggu di sana. Rumah masih berselerak kerana operasi SOHO petang Jumaat masih belum selesai. Buku-buku sekolah anak menyerabutkan fikiranku, mana nak simpan? Anak-anak dah masuk minggu kedua bercuti tanpa aktiviti terancang kecuali menghabiskan masa di rumah dan membuat latihan di buku kerja. Aku-sang ibu sudah terpaksa terkejar-kejar ke tempat kerja sambil memesan kepada bibik supaya menggoreng ikan untuk makan tengahari. Badan pun sudah terasa letih walau masih di awal pagi. Teringat vitamin yang dah luput tarikh agaknya di peti sejuk, madu & royal jelly, jamu Mustika Ratu yang dibeli tapi tak termakan lagi. Mesin senaman yang dah lama direhatkan. Apakah aku akan terus-terusan begini? Aku mahu keadaan yang lebih baik untuk diriku dan keluargaku! Sungguh aku berharap jurnal kehidupan ini akan dapat memaparkan cerita yang berbeza tidak lama lagi... iaitu bila aku berjaya mengatasi halangan dalam diri sendiri.. kerana tiada halangan yang lebih besar dalam kehidupan kecuali halangan daripada diri sendiri. Sudah sangat tiba masanya untuk aku berbuat sesuatu. Aku sendiri perlu membuat eksperimen apakah strategiku yang akan menjadi...

No comments: