Wednesday, January 30, 2008

Kang Razzi Armansur

26 Jan 08, 02:23Kang Razzi Armansur: Assalamualaikum.... Why you call me Paman? siapa agaknya ini ya?

26 Jan 08, 12:42Kang Razzi Armansur: Sopo sih iki? Sethulurku ke?

26 Jan 08, 18:06 epermaisuri: Kepada Kang Razzi, rasa2 macam kenal waktu kecik2 dulu.. tapi mungkin silap orang?

27 Jan 08, 00:07Kang Razzi Armansur: Kepada Permaisuri... if you are javanese, tinggal di Sungai Lang, anda tidak silap orang. Kalau sudi tolong beritahu siapa, anak siapa, InsyaAllah kenal. Kalau tahun 1986 masih kecil lagi insyaAllah

27 Jan 08, 00:09Kang Razzi Armansur: (sambung) kenal. Kalau kenal dengan nama2 dalam Rahsia Ajaib Untuk Berjaya, insyaAllah, kenal. 1986 meninggalkan Sungai Lang, Banting cari rezeki merata tempat...

29 Jan 08, 23:54Kang Razzi Armansur: Ya Allah... anak-anak Haji Silim rupanya... Dr. ain, Dr Alinm An, dan lain-lain... masakan boleh lupa.. Ya Allah... menitis air mata ini mengenangkan anak-anak Cik Minah dan Paksik Silim yang budiman

29 Jan 08, 23:57Kang Razzi Armansur: Maaf menaip berterabur sebab terlalu excited, teringat dua anak-anak kecil ini melintas jalan ke rumah atuk memerhati dari buaian depan rumah Farah. Berbuai dengan arwah atuk, Ya Allah...

30 Jan 08, 00:03Kang Razzi Armansur: Yang ini Ain atau Alin? Khabar lama dulu 2 atau 3 orang anak Cik Minah dah jadi Doktor.. Masa kecik dulu kamu semua panggil Paman, "Acik Shake"

30 Jan 08, 00:10Kang Razzi Armansur: Sampaikan salam rindu untuk Ain, Alin, An , Farah, ayah, ibu dan Cik Buang, Cik Tumiah, Cikgu Zahri, Ya Allah...

Assalamualaikum Kang Razzi,


Salam disambut! Ini Alin. Dah lama menunggu masa nak menulis lagi. Terlalu sibuk sepanjang seminggu lepas kerana mengejar dateline untuk hantar thesis pada 4 Februari. Hari inilah 4 Februari! Terlepas sudah satu bebanan bila 3 naskhah salinan thesis selamat dihantar ke meja PA Professor Hamid. Merdeka! Merdeka! Merdeka!


Terima kasih sebab masih ingatkan kami ni.. maklumlah waktu tu kitaorang kan bebudak kocik yang mungkin tak signifikan pun.. he he. Nak tergelak bila baca 'budak kurus yang yang selalu menaikkan seluar atau skirt kerana memang kurus betul'....ye ke macam gitu? Tak ingat pulak kalau kitorang panggil 'Acik Shake'. Kenapa? Muka macam Datuk Shake ke suara macam Datuk Shake.. yang teringat dalam kabur; muka Kang Razzi waktu tu macam iras Jamal Abdillah sikit, rambut panjang sikit, kerinting sikit, kan? Eh.. tak taulah Jamal Abdillah dah wujud ke belum tahun 80an tu...


Emak kirim salam. Alhamdulillah mak kata. Raya tahun ni balik kampung, ok!


Emak kata, Atuk Jalal dengan Nenek Odah adik beradik, emak Alin dengan emak Kang Razzi adalah sepupu, jadi kita semua dua pupu. Jadi sebenarnya Alin bukan gelarkan Kang Razzi 'Paman'.. betullah panggil 'Kang Razzi'. Apa pasal dari kecik panggil Paman/Acik, entahlah pulak.. mungkin anggapkan macam sebaya dengan Pak Usu.


Sorry; kalau kita dah melayukan nama Paman Roji jadi Paman Rozi.. he he he. Kita ni entah generasi ke berapa yang faham hampir 100% bila orang cakap Jawa, tapi tak ber'telor' Jawa bila cuba nak cakap Jawa. Sebab tak terbiasa dari kecik asyik bercakap Melayu, telor Jawa tak datang sendiri. Lepas tu, kawasan rumah yang jauh dari rumah orang lain menyebabkan tak dapat bermain-main dengan budak-budak lain.. bila ke sekolah baru nak cakap Jawa dan asyik kena gelak aje, akhirnya terbantutlah usaha-usaha nak membantu memartabatkan bahasa ibunda. Itulah alkisahnya...


Kang Razzi ni anak yatim piatu, kan. Alin ingat lagi, ada satu majlis penyampaian sumbangan raya kepada anak-anak yatim dan Alin tanya mak; "Kenapa Paman Rozi tak dapat, mak? Dia kan anak yatim." Mak kata; "La.. dia kan dah besar, kalau nak ikut yatim piatu aje, atuk dan nenek pun dah yatim piatu." Ya tak ya jugak.


Mak kata sebenarnya Kang Razzi adik beradik semua pandai-pandai belaka, tapi peluang belajar pada waktu tu tak seperti sekarang. Tak macam zaman kami semua, bila taraf pendidikan dan peluang semakin baik... Alin dapat ke MRSM Taiping; Ain ke SMAS Kajang dan Kolej Islam; An ke sekolah di Kuala Selangor... dan seterusnya. Alhamdulillah, kami dapat mencapai cita-cita msing-masing. Dan sekarang pun masih terus belajar mengejar cita-cita lagi...


Buku Rahsia Ajaib tu, Mak Lang Tumiah yang sibuk nak meminjamnya dari Mak Usu. Katanya cerita pasal Kampung Sungai Lang. Dalam sibuk nak kenduri tu, Alin boleh speed reading dan habis baca buku tu, sebab takut tak sempat baca dan Mak Lang dah nak bawa balik (kerja tetap kerja, sinoman tak mengelat tau!). Alin seorang sahaja yang kata "Ni Paman Rozi"; semua orang lain kata "Ye ke? Takkanlah kut.."


Kenapa gambar Kang Razzi dengan Pak Usu nampak dari belakang aje? Pak Usu yang 'comot' balik dari kebun nampak dari depan, tapi penulis tersohor dari bandar nampak kelibat dari belakang aje? Kenapa dalam Razzi Armansur.com ada gambar anak-anak aje? Bila nak letak gambar macam Fadzillah Kamsah, Azizi dll? Saje mengusik ni..

Apa pun kesimpulannya.. raya ni mesti balik kampung.


P.S. Nama Alin bukan Norazlin tau.. Ain belum jadi dr lagi, insyaAllah satu hari nanti, dia buat law dulu; An hampir-hampir jadi dr, sempat belajar beberapa bulan dan dia sedar itu bukan cita-citanya, dia pun jadi enginner. Ami usahawan. Annajiha baru aje bergelar pendidik; dan lepas tu barulah Dr. Anhar Hafiz insyaAllah bila habis belajar beberapa bulan lagi.

Sunday, January 27, 2008

Paman Rozi

Dunia semakin kecil di zaman teknologi... semakin laju, semakin tak terduga dan sering membuat kejutan demi kejutan.

Bermula dengan membaca buku "Rahsia Ajaib Untuk Berjaya'... hati terdetik; "Paman Rozi ke ni?" Dia yang aku ingat ialah saudara sebelah emak, kawan Pak Usu, selalu datang ke rumah waktu aku kecik-kecik... waktu tu tu aku 'Alin' dan "Ain' masih kecik lagi.. (ha.. sekarang, Paman Rozi ingat tak kitorang ni?).. tapi tak lama lepas tu, Paman Rozi dan seorang abangnya, menghilang dari kampung tanpa khabar berita. Bak kata orang, entah mati entahkan hidup, langsung ghaib tanpa cerita...

Waktu membaca buku tu, hati semacam yakin, memang Paman Rozi. Wah, tak sangka dah jadi seorang penulis tersohor! Eh, sebagai anak Sungai Lang mestilah tumpang berbangga. Bak kata orang, siapa yang menduga anak kampung yang pergi merantau sehelai sepinggang sewaktu mudanya, ke kota yang penuh cabaran - dulu-dulu orang kata kota 'neon dan kelkatu'.. tapi sekarang kota yang cabarannya lebih dari itu - masih boleh jadi 'orang'... dan bukan sekadar 'orang', tapi boleh menulis buku memotivasi orang lain. Tahniah!

Buku yang aku baca, Paman Rozi hadiahkan kepada Pak Usu Zakaria. Seronok baca buku tu, sebab kenal dengan watak-wataknya, dan familiar dengan tempat-tempatnya, dengan nasi ambeng, pecal dan sotonya... dan menarik jalan ceritanya.

Pendapatku, kenapa Paman Rozi berjaya berada di tempatnya sekarang walau keluar dari kampung sebatang kara sehelai sepinggang; ialah kerana Paman Rozi ada jati diri yang tinggi. Itu yang dapat aku rasakan bila baca buku tu. Seingatku, tak pernah aku baca buku yang mengulas budaya kehidupan orang-orang Jawa di Malaysia yang ditulis dengan begitu menarik dan bergaya. Paman Rozi memerhati, mengimbau memori, menggarapnya dan menghargai erti menjadi anak Jawa. Tersurat cerita-cerita anak Jawa dan tersirat rasa bangga terhadap asal-usul dan warisan bangsa.

Bukan nak berbangga-bangga dengan bangsa ini dan itu. Tapi Tuhan menjadikan kita berbangsa-bangsa untuk saling kenal mengenal. Pada akhirnya, Jawa, Minang, Banjar - kita tetap serumpun Melayu. Pada akhirnya, Melayu, Cina, Arab, Parsi, Jepun, Eropah.. kita tetap anak Adam dan ada satu Tuhan. Tapi setiap bangsa perlu ada jati dirinya dan rasa bangga dan hormat kepada warisan bangsanya. Itulah rahsia bangsa-bangsa yang berjaya dan dipandang tinggi.

Buku tu banyak cerita nostalgianya, seolah-olah melalui zaman kecik-kecik dulu.. walau banyak tak berkesempatan jadi se'adventurous' (atau se'nakal'?) Paman Rozi dan Pak Usu, maklumlah kami ni budak-budak perempuan, rasa macam terbayar hutanglah dengan membaca buku tu..

Terkejut badak bila dapat mesej "Why you call me Paman?" dalam blog.. tak sangka pulak! Ain pun mesti terkejut tu kan! Sebab tu aku kata dalam zaman teknologi ni dunia semakin kecil. Seorang yang kita rasa hanya berada di zaman silam kita, kerana dia telah tak wujud berpuluh-puluhan tahun, tiba-tiba hanya berjarak satu 'klik' di sana...

Tahniah Paman Rozi. Semoga terus sukses. Ingat ke tak ingat kat kitorang ni, tak kisah....tapi kalau tak ingat, memang tak patut tau.. he he..

Saturday, January 26, 2008

Hari-hari terakhir sebelum hantar thesis

Malam ni memang macam-macam aku rasa... pening ada, loya ada, tak laratnya nak menengok thesis ni hari-hari... Kawan-kawan lain ada yang dah siap, Vincent dah bercuti ke Singapore, katanya "I dah tak perfectionist dah, dah hantar kat supervisor". Aida, beberapa hari lepas dah tulis acknowledgement. Salwa tengah tulis bahagian reference. Nampaknya memang aku yang terkebelakang, masih buat bahagian discussion.

Buat data analysis aje berhari-hari baru puas hati... Ni nak buat discussion pun, nak cuba buat as interesting as possible kononnya... Manalah tak meletihkan. Aku rasa aku meletakkan satu standard yang tinggi untuk diriku. Selalu begitu!

Buat ke sekian kalinya.. kena berkata begini lagi... "patah sayap kubertongkatkan paruh, gunung kudaki kudaki jua! Sampai di puncak segalanya akan jadi tak terasa! Walau apapun jua, aku perlu sampai di sana, setinggi yang kuimpikan. Bukan sekadar setinggi yang terdaya.. kerana terdaya itu relatif, sedang impian dan cita-cita, itulah satu yang objektif... dan aku sudah melihatnya, hanya perlu menggapainya, dengan segala yang ada... biar patah sayap ini, bertongkat paruh terus kudaki..."

Dengan izin Allah pastinya.

Ahad - Seminar Work Stress @ Crown Princess Hotel, I'll take a break from my thesis! Yeah!
Isnin - Siapkan discussion, study limitation, implication
Selasa - Polish up, jumpa supervisor
Rabu - Conclusion, References, List of table, figure
Khamis - Final editing
Jumaat - Print out

Aim: Hari Jumaat mesti siap. InsyaAllah. Alahai.. tinggal 4 hari lagi.. it's just a matter of time. Semoga Allah terus memberiku kekuatan. Menjelang hari-hari terakhir sebelum 4 Februari 2008..


Friday, January 25, 2008

Detik Berharga

Dalam hidup ni kita perlu stress tapi jangan sampai distress. Kalau hidup monotonous sahaja, terlalu rutin dan tiada keterujaan pun memang tak seronok.

Tapi apapun hidup mesti terurus, makan minum dan tidur mesti terurus sebab itu keperluan hidup yang asas sekali. Kalau tidak, mesti ada kesannya.

Malam tadi aku boleh tak tidur kecuali sepicing dua! Tak pernah lagilah buat begitu sepanjang menyiapkan thesis. Tapi, entah kenapa malam tadi rasa tak nak berhenti sebab seronok betul menganalisis data sampai tak terasa nak tidur. Tak terasa dah pukul 5 pagi.... Waktu tu, tengok sedap betul El tidur di karpet sebelah meja komputer temankan ibunya yang yang bertungkus-lumus di depan komputer - barulah aku cuba merebahkan badan seketika. Bangun setengah jam lepas tu solat subuh dan tiba-tiba aku rasa tak berdaya nak buat apa-apa... terus tidur sampai pukul 10 pagi.

Bangun-bangun, terpa komputer lagi.. tak terasa lapar pun. Mandi pun, nanti dululah! Tiba-tiba dah pukul 2 petang. Hah!?

Aku ni dah jadi terlampau fanatik nak menghasilkan my ground-breaking thesis apa!? Apa sudah jadi ni!?

Tidak mungkin berterusan begini, lepas beberapa hari, aku mesti jadi tak normal!! He he..

Jadi, aku pun berhenti, mandi.. dan terasa segar dan 'hidup' kembali. Keluar, ambil Nina, Zahra & Myra dari sekolah. Dah berapa hari aku biarkan aje budak-budak tu balik naik van walaupun aku ber'SOHO' di rumah... Teringat cerita Mak Wan, dia tak boleh lupa seronoknya waktu anak-anaknya kecil, semua di depan mata... riangnya anak-anak, senyuman mereka bila nampak kereta kita tiba di laman sekolah, disambung dengan berebut-rebut bercerita semasa dalam kereta.. saat-saat itu takkan selamanya begitu.... ia akan berlalu, tanpa kita menyedarinya.

Memang aku tak sabar tunggu hari 'merdeka' ku.. tapi sekali-kali aku tak akan korbankan kualiti thesis yang aku sediakan. Biar lambat sikit siap, tapi mesti puas hati. Dan aku juga tidak mahu lagi 'terlalu tak tentu arah' sampai mengorbankan perkara-perkara lain yang juga penting dalam kehidupan! Detik-detik berharga bukan selama-lamanya ada...

Walau tak sabar nak siapkan thesis.. tapi hati terasa sedih, sebab selepas hantar thesis, aku kan kembali masuk kerja macam biasa. Tiada lagi SOHO.. tiada lagi mencari-cari kelibat anak-anak yang melambai-lambai di pintu sekolah.

Wednesday, January 23, 2008

Dihambat kesibukan

Sedar-sedar dah seminggu tak berkunjung ke blog sendiri. Sungguh-sungguh dihambat kesibukan mengejar dateline thesis pada 4 Februari 2008. Tinggal 11 hari lagi... Selagi belum tiba tarikh tu bergelumanglah aku dengan data dan jurnal siang malam... berfikir, memerah otak... Memang 'no life'... anak-anak pun terpaksa bersabar berkurung di rumah walaupun di hujung minggu!

Thesis... is a contribution to knowledge. It is not easy to contribute one!

Thursday, January 17, 2008

Mengejar Yang Terbaik

Baru-baru ni aku baca buku berjudul 'Travelog Haji', tulisan Prof Muhd Kamil tentang kisah perjalanannya ke Baitullah menunaikan haji. Sebuah cerita yang menarik dan menginsafkan, mengisahkan insan kerdil yang cuba mengejar yang terbaik sebagai tetamu Allah. Cerita yang kita boleh mengidentifikasi diri.. maknanya; biar siapa pun kita, yang bermula sebagai insan yang tak berilmu, yang tak seberapa amalnya, tapi kita sentiasa ada tempat untuk menjadi hampir kepada Allah. Yang penting adalah kemahuan dan usaha kita. Kerana selangkah kita menuju kepadaNya, seumpama berlari Allah datang kepada kita.

Apa yang kita mahu, perlu disemat menjadi keazaman. Motivasi diri perlu untuk membina hidup berjaya di dunia, dan seperti itu jugalah motivasi perlu untuk membina hidup yang berjaya di akhirat. Bagaimana nak mendapatkan motivasi akhirat? Segalanya mesti bermula dengan adanya satu matlamat ke arah yang terbaik.

Untuk itu, aku fikir motivasi untuk hari akhirat perlu dibina dengan doa dan pengharapan. Apabila berdoa kepada Allah, memohon syurga, mohonlah syurga yang terbaik iaitu syurga Firdaus. Mohon dengan penuh kesedaran. Walau diri terasa kerdil dan tidak layak. Namun, yakinlah.. doa dan pengharapan yang Allah suruh kita panjatkan memang pasti ada kesannya kepada manusia.

Dalam konteks psikologi, Allah menjadikan dalam otak kita ada satu sistem yang dipanggil reticular activating system (RAS). Inilah sistem yang bila dirangsang akan menjadikan kita peka, dan di bawah sedar kita melakukan banyak perkara yang berkaitan dengan rangsangan yang diterima. Contohnya, bila kita menimbang-nimbang nak beli kereta baru.. satu jenama tertentu, tiba-tiba kita rasa kita nampak banyak kereta macam tu di jalan raya, dan kita jumpa macam-macam benda lain berkait dengan kereta tu. Sebelum ni tak perasan pun kan? Pengetahuan mengenai RAS juga membuatkan iklan-iklan berjaya mempengaruhi manusia membeli sesuatu. Dan kerana itulah, memang betul.. kalau kita kata kita boleh, insya Allah kita boleh. Kerana RAS kita hanya nampak 'boleh' dan di bawah sedar menyebabkan tindak-tanduk kita berusaha ke arahnya.

Melalui doa yang hari-hari kita panjatkan dengan penuh kesedaran dan pengharapan, untuk yang terbaik, insya Allah usaha kita akan mengiringi dengan sedar dan juga di bawah sedar. Sesungguhnya dalam mengejar yang terbaik untuk dunia dan akhirat, doa memang berkait rapat dengan usaha, kerana ia memperkuatkan satu sama lain dengan cara yang tersendiri.

Baru-baru ini juga, dalam usahaku bertungkus-lumus membuat thesis, aku tergerak membaca buku tentang Asmaul-Husna. Di dalamnya, terdapat beberapa amalan untuk memperolehi hasil kerja yang baik dan memuaskan dan juga kerja yang beres pada waktunya... insya Allah. Memang itulah yang kita semua mahu selalu... siap kerja pada dateline dengan hasil yang berkualiti dan memuaskan. Bagi aku yang memang tengah mengejar dateline ni memang faham sangat apa 'perasaan'nya berada dalam situasi yang sungguh mencabar ini.

Ada banyak amalan di dalamnya, tetapi apa yang nak dikongsi di sini ialah apa yang insyaAllah mampu diamalkan sehari-hari.

Sebelum mulakan kerja;
  • Baca Ya-zal-jalali-wal-ikram beberapa kali untuk berjaya melakukan pekerjaan dengan baik, jika diiringi dengan usaha yang gigih
  • Baca Ya Syakur 11 kali agar dapat menyelesaikan masalah yang datang dengan baik
  • Baca Ya Malikul Mulk 21 kali agar berjaya dalam urusan yang dilakukan
  • Baca Ya Awwal 11 kali agar dapat selesaikan kerja pada masa yang ditetapkan
  • Baca Ya Nafi' (huruf ain di hujung) agar kerja yang dilakukan mendatangkan hasil dan berkat
(Dipetik dari 'Merawat Kehidupan dengan Zikir Asmaul Husna' oleh Ikmal el-Muhammady)

Alhamdulillah. Kadang-kadang kerja yang terasa sukar menjadi mudah. Kadang-kadang buntu, terbuka jalan. Kadang-kadang rezeki datang tak disangka-sangka dalam bentuk bahan-bahan ilmu, pengetahuan baru, pertolongan dan bantuan orang...

Berkongsi di sini.. kerana Allah berfirman dalam surah Ad-Dhuha supaya "menyebut-nyebut tentang nikmat yang Dia berikan". Mohon ampun kepada Allah di atas kekurangan diri.

Tuesday, January 15, 2008

SOHO - Rezeki turun pelbagai bentuk

Masya Allah. Subhanallah. Setelah hampir 4 tahun buat postgraduate.. asyik-asyik buat journal search dalam EBSCO Host dan Ovid... baru-baru ni (sejak dalam seminggu dua minggu lepas) aku baru tahu aku ada access ke BlackwellSynergy dan SpringerLink.... dan hari ini sekali lagi, aku baru tahu aku ada access ke banyak lagi journal seperti ScienceDirect, JSTOR, Emerald... semuanya melalui HUKM Library Portal yang aku gunakan selama ini. Ini sesungguhnya akan sangat-sangat memudahkan usahaku menyiapkan thesis.

Kadang-kadang benda yang dah di depan mata pun kita boleh tak nampak... Bila aku dapat artikel-artikel tu, percuma.. dengan tajuk-tajuk menarik, terasa macam betul-betul dapat durian runtuh! Bagiku, ini adalah satu penemuan yang merupakan rezeki ilmu yang Allah turunkan. Alhamdulillah.